Tuesday, October 22, 2013

Baby Walker, Bayang-Bayang Orang Sujud dan Manusia Berkulit Putih

Antara peristiwa semasa aku kecil yang aku ingat dan ramai tidak mempercayai cerita yang aku ingat adalah ketika aku menggunakan baby walker. Jangankan orang lain, mak aku sendiri tak percaya yang aku mampu mengingatinya. Tapi hakikatnya begitulah. Aku masih ingat diangkat dan diletakkan di dalam baby walker. Aku masih ingat ketika itu berada di sekitar dapur di rumah uwan aku. Terasa kurang selesa pada bahagian peha seperti rasa geli-geli gatal. Namun yang aku ingat ialah aku hanya ketawa pada masa itu. Aku masih ingat bapa-bapa dan mak-mak saudara aku memerhatikan aku pada masa itu. Bila aku ceritakan kepada mereka, semua tak terkata apa-apa. Pertama mereka tentu lupa peristiwa terjadi tahun 60an (sekitar 1964 atau 1965) dan mana mungkin seorang bayi boleh ingat sebarang peristiwa. Aku tak berbohong dan aku tak mereka-reka cerita. Sumpah. Wallahi. Aku masih ingat kejadian itu sehingga hari ini.

Selain itu beberapa kisah yang boleh dikatakan aneh juga terjadi semasa aku kecil. Pada satu malam well, iyelah masa tu masih kecil mungkin sekitar dua atau tiga tahun. Aku dikatil di rumah uwan aku. Dan mak su atau mak lang aku bergurau dengan aku melayan aku yang masih kecil. Tiba-tiba aku ternampak seperti bayang-bayang seperti orang sedang solat duduk dalam keadaan tasyahud pada lelangit kelambu.

Lalu aku pun bertanya "tu apa tu" sambil jari aku aku tunjukkan di lelangit kelambu. "Kelambu..." kata mak saudara aku yang melayan aku pada masa itu. Kemudian aku diam. Aku terus perhatikan dengan jelas pada lelangit kelambu tersebut seperti ada bayang-bayang orang sedang duduk dalam keadaan tasyahud. dengan mulutnya terkumat-kamit. Aku tak bohong, aku tak tipu. Tapi itulah dia yang aku nampak.

Ada satu kejadian lagi ketika aku masih kecil. Ketika itu aku demam. Pada waktu malam aku terjaga dan aku perhati di dalam rumah ada lelaki-lelaki berseluar hitam dan berbaju kemeja lengan pendek. Kesemua mereka memakai topi dan kesemua mereka kelihatan berkelakuan aneh dengan pergerakan-pergerakan aneh. Nak kata menari pun bukan menari. Tapi salah seorang dari mereka berkulit putih kemerahan memakai topi seperti cuba mencecahkan kepalanya pada kain langsir... aneh sungguh pergerakannya.


Ini Berapa

Blog ini datang dari tahap pemikiran yang paling rendah. Ini kerana blog ini menceritakan kisah diri sendiri. Dan ketahuilah bercerita mengenai diri sendiri datang dari pemikiran bertahap rendah.


Gambar ini diambil pada 1964 atau 1965. Ia diambil oleh bapa saudara aku yang aku panggil Pak Cek. Bukan sekeping ini sahaja yang diambil oleh Pak Cek. Ada beberapa keping sebenarnya. Salah satu gambar jari aku betul-betul menegak betul-betul di hadapan muncung burung tiong tersebut. Nantilah, mungkin bila aku ketemu gambar tersebut aku akan copy dan buboh di sini. Gambar tersebut tersiar dalam majalah URTV tahun 1970an dan menang hadiah pertama untuk bulan itu dengan judul "Ini Berapa".

Namun menurut Pak Cek, tajuk yang diberinya lnamun pihak URTV pula memberi tajuk yang lebih menarik iaitu "Ini Berapa" Tajuk "Ini Berapa" ini bagi aku sangat menarik bunyinya dan bersempena dengan itu aku namakan blog ini (yang mungkin akan jadi laman web) dengan nama "Ini Berapa".

Aku ada banyak kisah-kisah masa kecil sehinggalah ke alam tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Kenapa aku begitu berminat bercerita mengenai alam persekolahan? Kerana aku melalui tujuh buah sekolah semuanya. Ini tidaklah banyak. Mungkin di luar sana ramai lagi yang kehidupannya berpindah-randah disebabkan keadaan pekerjaan ayah masing-masing atau lain-lain hal yang menjadikan mereka terpaksa pindah banyak sekolah.